|
| Kategori : AKIDAH Akhlak |
Tajuk : Sabar Atas Kematian Insan Tersayang
|
|
| Hadith : |
| Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat:”Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku? Malaikat menjawab:”Ya.” Allah bertanya lagi: “Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?” Malaikat menjawab:”Ya”. Allah bertanya kali ketiga:”Apakah kata hamba-Ku?”Malaikat menjawab:”Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan “dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali”. Allah Ta’ala memerintahkan malaikat-Nya:”Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu ‘Rumah Kesyukuran’.” (at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
|
Huraian
1. Apabila keimanan seseorang itu sudah kukuh dan mencapai kedudukan yang istimewa, pasti segala kejadian dan musibah yang terjadi, menjadi kecil pada dirinya.
2. Dia menyerahkan segala yang menimpa kepada Allah S.W.T tanpa merasa bimbang, kecewa dan sedih bahkan menerimanya dengan perasaan yang tenang dan sabar. Dengan perkataan lain, dia redha terhadap qada’ dan tunduk terhadap takdir Allah S.W.T. Inilah sifat yang harus ada pada seorang mukmin yang sebenar.
3. Tidak dinafikan bahawa kesabaran itu amatlah berat, namun terlalu besar ganjarannya jika mahu dibandingkan engan ujian-ujian yang lain. Hal ini termasuklah kesabaran seseorang itu di atas kematian anak kecil mereka di mana pada hari akhirat kelak ia akan menjadi suatu syafaat (mudah mendapat keampunan Allah) buat mereka yang menjadi ibu bapanya.
| Kategori : AKIDAH Akhlak |
Tajuk : Berusaha Supaya Tidak Menjadi Miskin
|
Hadith : |
| Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qadha’ dan qadar.” Riwayat Abu Naim |
Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Manusia yang mempunyai sikap tercela (mazmumah) sering dibenci oleh orang ramai. Ia boleh merosakkan potensi diri hingga adakalanya turut menganggu masyarakat setempat. Sikap inilah yang menjauhkan hati daripada mengingati Allah S.W.T.
ii) Hasad dengki adalah di antara sifat-sifat mazmumah tersebut. Oleh itu awasilah diri daripadanya kerana ia adalah dosa yang pertama sekali dilakukan oleh Iblis laknatullah yang telah menolak perintah Allah agar sujud kepada Nabi Adam a.s. Begitu juga Qabil yang telah membunuh Habil, juga disebabkan oleh perasaan dengki.
iii) Sifat dengki itu ialah ‘apabila melihat orang lain lebih daripadanya maka dia akan cuba menjatuhkannya’. Inilah dengki yang dilarang oleh Islam. Seharusnya apabila seorang mukmin melihat orang lain berjaya maka dia harus berusaha kuat untuk menjadi sepertinya. Inilah dengki yang dibenarkan oleh Islam.
iv) Dengki (yang dilarang Islam) harus dicegah dengan memupuk sifat qana'ah ( puas hati dengan apa yang ada setelah berusaha), redha serta bersyukur dengan pemberian Allah bukan melakukan perkara-perkara yang membawa kekufuran terhadap-Nya.
v) Takdir yang ditentukan Allah terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan yang enak-enak dan ada juga yang hanya duduk di pondok buruk, dan makan sekadar untuk mengalas perut. Namun Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir Allah itu dengan redha, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentulah setiap takdir itu akan menguntungkannya. Jika dikurniakan kekayaan, maka dengan kekayaan itu dia dapat membantu orang yang susah, anak-anak yatim, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan sehingga ia menjadi lebih hampir kepada Allah dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebaliknya jika ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik seperti miskin dan sebagainya, tetapi dia sanggup bersabar di samping berusaha, maka Allah akan membalasnya dengan seribu rahmat.
| Kategori : AKIDAH Akhlak |
Tajuk : Bersengketa Membolot Harta
|
Hadith : |
| Dari Muhammad bin Ibrahim r.a katanya Abu Salamah bercerita kepadanya, bahawa Abu Salamah bersengketa dengan kaumnya perihal tanah. Lalu dia pergi kepada Aisyah r.a mengadukan hal itu kepadanya. Kata Aisyah:”Hai Abu Salamah! Jauhilah perkara (sengketa mengenai) tanah. Kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda:”Siapa merampas sejengkal tanah, dikalungkan Allah kepadanya kelak di hari kiamat tujuh lapis bumi.” (Muslim) |
| Kategori : AKIDAH Akhlak |
Tajuk : Dua Pertiga Itu Sudah Banyak
|
Hadith : |
| Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Kalaulah orang ramai mengurangi dari sepertiga harta yang diwasiatkan mereka menjadi seperempat alangkah baiknya, kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda:”Sepertiga itu sudah cukup banyak.” (Muslim) |
| Kategori : IBADAH Akidah |
Tajuk : Harta Yang Berkat
|
Hadith : |
| Dari Hakim bin Hizam r.a katanya, dia meminta sedekah kepada Nabi s.a.w lalu diberi oleh baginda. Kemudian dimintanya lagi lalu diberi pula oleh baginda. Kemudian baginda bersabda,:”Harta itu lazat dan manis. Maka siapa yang menerimanya dengan hati yang bersih (tidak rakus atau serakah), dia akan mendapat berkat dengan harta itu. Tetapi sesiapa yang menerimanya dengan nafsu serakah dia tidak akan mendapat berkat dengan harta itu; dia seperti orang makan yang tidak pernah merasa kenyang. Dan tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.” (Muslim) |
| Kategori : AKIDAH Usuluddin |
Tajuk : Ketetapan Ajal
|
Hadith : |
| Dari Abdullah r.a katanya:”Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri nabi s.a.aw berdoa:”Ya Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suamiku, Rasulullah s.a.w dan dengan bapaku Abu Sufyan dan dengan saudaraku Muawiyah.” Maka bersabda nabi s.a.w :”Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tak dapat diubah) memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungannya serta rezeki yang yang sudah dibahagi-bahagikan yang tak dapat disegerakan sebelum tiba waktunya dan tak dapat diundur sedikit juapun dari waktu yang telah ditetapkan sejak mula. Seandainya engkau memohon kepada Allah Taala perlindungan dari siksa neraka atau dari siksa kubur itu lebih baik dan lebih bagus.” (Muslim) |
| Kategori : MUAMALAT Pusaka |
| Tajuk : |
| Menjaga Harta Pusaka |
| Hadith : |
| Dari Jabir r.a katanya rasulullah s.a.w bersabda:”Peliharalah hartamu baik-baik dan jangan dirosakkan kerana setiap orang yang diberi suatu pemberian maka harta itu menjadi milik yang diberi selama hidupnya dan apabila dia meninggal menjadi milik keturunannya.” (Muslim) |
Huraian
Perkara-perkara yang bersabit dengan pewarisan harta pusaka adalah seperti waris, pewaris, warisan dan ahli waris. Waris adalah orang yang menerima pusaka. Pewaris adalah orang yang mewariskan. Warisan adalah benda yang diwariskan atau dipanggil pusaka peninggalan. Sedangkan ahli waris adalah semua orang yang menjadi waris. Menurut adat, menjual harta pusaka yang tinggi nilainya adalah dilarang apalagi untuk kepentingan peribadi si penjual. Menjual harta pusaka bererti seolah-olah seseorang itu melupakan masa depan generasi selepasnya. Bahkan dalam masyarakat Melayu kita, wujud suatu anggapan bahawa orang yang menjual harta pusaka yang tidak sepatutnya akan mengundang mala petaka dalam hidupnya dan mendapat kutukan dari nenek moyang mereka yang telah bersusah payah mengusahakannya. Namun demikian dewasa ini berlaku juga penjualan harta pusaka yang disebabkan oleh berbagai alasan seperti:
1. Tanah pusaka itu tidak lagi produktif lagi seperti tanah sawah atau pun ladang yang sudah tidak mendatangkan hasil. Lalu ia dijual untuk dibina projek perumahan, perusahaan (kilang-kilang) dan sebagainya.
2. Tidak ada yang sanggup menguruskannya hingga ia terbiar begitu sahaja. Manakala ahli waris pula tinggal berjauhan dan sukar untuk menguruskannya.
3. Harta pusaka dijual dengan tujuan untuk ditukarkan dengan sesuatu yang lain yang lebih produktif dan ia diberikan status harta pusaka.
Dalam hal ini apa yang penting adalah sesuatu keputusan yang berkaitan dengan harta pusaka itu mestilah diambil dengan kesepakatan seluruh ahli keluarga atau anggota waris sama ada yang jauh atau yang dekat demi mengelak berlakunya perbalahan atau pertengkaran kerana lumrahnya manusia mudah terpedaya apabila dilimpahi dengan harta dan wang yang banyak hingga sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak nafsu termasuk membunuh, menipu, mengkhianati dan sebagainya.
| Kategori : AKIDAH Akhlak |
| Tajuk : |
| Memanfaatkan Harta Sebaik-baiknya |
| Hadith : |
| Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Peliharalah hartamu baik-baik dan jangan dirosakkan kerana setiap orang diberi suatu pemberian, maka harta itu menjadi milik yang diberi selama hidupnya dan apabila meninggal menjadi milik keturunannya.”
(Muslim) |
Huraian
1. Harta sebagai salah satu amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat manusia haruslah disyukuri dengan cara membelanjakannya di jalan yang diperintah oleh agama. Itulah bekalan amalan yang akan dibawa di akhirat kelak.
2. Keserakahan akibat daripada terlalu cinta terhadap harta akan menjadikan seseorang itu mendapat kemurkaan daripada Allah sebagaimana yang telah berlaku terhadap Qarun yang ditelan bumi bersama-sama dengan harta-harta yang dimilikinya.
3. Bagi mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam menolak beberapa tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana iaitu sikap suka berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
4. Pembaziran harta juga disebut sebagai memusnahkan harta benda sama ada secara disedari atau tidak seperti mengabaikan ternakan dan tanaman, tidak menjaga makanan sehingga musnah dan tidak boleh dimakan, membiarkan pakaian kotor sehingga cepat luntur, tidak menyelanggarakan rumah kediaman, kereta dan barang kepunyaan sendiri sehingga cepat rosak dan sebagainya.
300
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia