1. PENTADBIRAN HARTA PUSAKA
.
- Apakah yang akan terjadi sekiranya Pentadbiran Harta Pusaka tidak dilaksanakan?
Harta Pusaka anda akan dibekukan atau terbiar dan segala transaksi aset tidak dapat dilaksanakan. Waris-waris akan menghadapi kesulitan kewangan kerana tidak dapat memanfaatkan harta yang telah ditinggalkan.
- Siapakah yang boleh mewarisi harta simati?
Sekiranya Simati seorang yang beragama Islam, waris-waris yang layak ialah sebagaimana ditetapkan dalam hukum Faraid seperti bapa, ibu, isteri, suami, anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki, cucu perempuan dan sebagainya. Bagi yang bukan beragama Islam, waris adalah sebagaimana dinyatakan dalam Akta Pembahagian 1958 (Distribution Act 1958) seperti ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak dan zuriat keturunannya.
- Apakah yang dimaksudkan dengan Faraid?
Faraid ialah hukum pewarisan dan ketentuan hak terhadap pembahagian harta pusaka bagi orang Islam berdasarkan Al-Quran, Sunnah dan Ijma'Ulama.
- Bilakah permohonan Pentadbiran Harta Pusaka wajar dilakukan?
Secepat yang mungkin, sebaik-baiknya dalam tempuh 6 bulan dari tarikh kematian. Permohonan awal adalah penting bagi mengelakkan kehilangan dokumen-dokumen penting dan berlakunya kematian berlapis kepada waris-waris kerana ini akan menambahkan bilangan waris sehingga akhirnya proses penyelesaian menjadi rumit dan sukar diselesaikan.
- Siapakah yang dimaksudkan dengan pemegang Surat Kuasa Mentadbir?
Pemegang Surat Kuasa Mentadbir atau biasa juga disebut "Pentadbir" ialah individu atau organisasi dilantik oleh Pentadbir Tanah melalui Perintah Pembahagian Harta Pusaka Kecil atau Mahkamah melalui Perintah Pusaka Tidak Berwasiat melebihi RM 600,000. Tugas mereka ialah untuk mentadbir harta pusaka simati dengan menyediakan inventori dan menerima aset dan liabiliti serta membuat bayaran bagi waris apabila perintah pembahagian dikeluarkan.